Blog

12 TEMPAT MENARIK UNTUK LAWATAN SEKOLAH

TEMPAT MENARIK UNTUK LAWATAN SEKOLAH

 

Shah Alam yang merupakan ibu negeri Selangor Darul Ehsan adalah sebuah bandar yang agak pesat membangun sehingga pernah digelar sebagai Bandar Perindustrian, tapi, jika anda menganggap kemajuan sebegini membawa pencemaran, ini adalah sebaliknya sekiranya anda meronda-ronda di Shah Alam. Di sebalik kepesatan pembangunan di bandar ini, anda dapat merasakan ketenangan dan keindahan pemandangan di sekeliling bandar, boleh dikatakan pembangunan di Shah Alam agak seimbang dari segi material dan alam semulajadi.

Bukan itu sahaja, bandar ini sesuai  dijadikan lawatan sambil belajar untuk pelajar-pelajar sekolah di Shah Alam dan juga memiliki aset yang agak lengkap, banyak sekali tempat yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara, nak tahu di mana? Teruskan membaca senarai 12 tempat menarik yang sesuai dijadikan lawatan untuk pelajar sekolah di Shah Alam.

 

1. Skytrex

 

 

Sumber: TravelBuddee

Lagi satu tempat di mana anda dapat memburu adrenalin anda adalah Skytrex Shah Alam. Terletak di Taman Pertanian Malaysia, anda dapat melakukan aktiviti ekstrem dengan udara segar kerana dikelilingi pokok-pokok hijau. Antara aktiviti yang menanti anda di sini adalah flying fox, meluncur, bergayut dan macam-macam lagi dari pokok ke pokok, sebab itulah ia digelar SKY trekking. Syok apa dapat jadi tarzan sehari?

Skytrex Adventure ini dibuka setiap hari kecuali Isnin dan digalakkan untuk anda membuat tempahan online. Aktiviti di sini sesuai untuk yang memiliki stamina yang tinggi ya, kalau tak, tak larat pula anda nak rasai semua cabaran-cabaran di sini, rugi je kan? Apa-apa pun, kalau dapat mencuba sekali dalam seumur hidup beraktiviti lasak sebegini memang akan menjadi pengalaman yang tak dapat dilupakan.

Bayaran Masuk (Tempahan Online): Beginner RM35 | Intermediate RM45 | Advanced RM55

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (8.30am – 5.00pm)

Alamat: Jalan Liku 8/1, Seksyen 8, 40000 Shah Alam, Selangor

 

2. i-City

 

Sumber: Malaysia Travel

Kalau anda pernah dengar tentang I-City Shah Alam, mesti anda terbayangkan pokok-pokok berlampu LED kan? Tapi anda tahu tak sebenarnya banyak lagi tarikan lain yang ditawarkan di I-City ni? Bersebelahan dengan pokok-pokok bercahaya ini terdapat Snowalk dengan suhu serendah 5 darjah celcius.

Di dalam kawasan Snowalk ini anda dapat melihat rumah-rumah yang dibuat daripada ais, orang salji, ukiran ais dan bermacam lagi. Kalau anda teringin merasa hidup di dalam salji, inilah tempat yang patut anda pergi. Keluar sahaja dari taman salji ini, ada banyak lagi tempat untuk berseronok seperti Laser Warzone, Waterworld, Space Mission, Circus Travel, Trick Art Museum dan banyak lagi. Gempak kan? Tunggu apa lagi? Mai lah ke sini!

Alamat: I-City, 40000 Shah Alam, Selangor.

 

3. Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah

 

Sumber: Emily2u

Masjid yang dirasmikan pada tahun 1988 ini adalah masjid yang kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Masjid Istiqlal di Jakarta, Indonesia. Nama lain bagi masjid ini adalah Masjid Biru kerana kubahnya yang berwarna biru. Senibina masjid ini adalah hasil kombinasi senibina tradisional Islam dari Barat, India, Asia Barat dan Melayu.

Ia juga pernah memegang rekod sebagai masjid yang memiliki menara yang tertinggi di dunia sehingga dimasukkan di dalam Guinness World Records, namun pada tahun 1993, masjid yang memiliki menara tertinggi adalah Masjid Hassan II di Casablanca, Morocco.

Sultan Salahuddin, Sultan Selangor pada masa itu menyumbangkan jam antik yang berusia 600 tahun dan 4 buah lampu chandelier yang berharga lebih daripada 2 juta. Rasanya kisah tentang masjid ini sudah cukup menarik perhatian anda untuk datang ke sini dan menyaksikan sendiri keindahannya dengan lebih dekat lagi.

Alamat: Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor

 

4. Muzium Sultan Alam Shah

 

Sumber: Wikipedia

Muzium Sultan Alam Shah ini agak luas dengan hampir 4000 buah artifak dipamerkan di sini. Terdapat lima buah balai pameran yang berbeza iaitu Balai Islam, Balai Sukan, Balai Sejarah, Balai Kebudayaan, Balai Warisan Alam Semulajadi dan Pameran Luar. Antara kemudahan lain yang disediakan muzium ini adalah dewan, bilik mesyuarat, Makmal Taksedemi dan Repositori, Pusat Sumber serta Auditorium.

Di Balai Sejarah, anda dapat melihat pameran artifak yang dijumpai di kawasan penempatan awal manusia di negeri Selangor dan sejarah pentadbiran Selangor. Jika anda ke Balai Islam pula anda dapat melihat pelbagai artifak dan model yang menarik seperti kitab-kitab lama, bekas wuduk, beduk dan macam-macam lagi. Banyak yang boleh dipelajari sekiranya anda membawa anak-anak melawat muzium ini. Kemasukan ke muzium ini adalah percuma. Diulangi, PERCUMA.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (9.30am – 5.30pm)

Alamat: Persiaran Bandaraya, Seksyen 14, 40000 Shah Alam

 

5. Kilang Roti Gardenia

 

Sumber: Blog Alia Umaira

Berpeluang melawat ke kilang Gardenia untuk melihat dan mengetahui rahsia kelembutan dan kelazatan roti yang paling popular di Malaysia. Ketahuilah asal usul gandum terpilih. Selain itu, lihatlah bagaimana kami mengadun kombinasi teknologi moden dan kaedah tradisi untuk proses membakar roti. Anda akan merasa kagum dengan barisan bakeri yang terbesar dan terpantas di Selatan Timur Asia. Lihatlah bagaimana Gardenia membuat aneka roti yang lazat dan alamilah aroma roti yang segar dan baru dibakar. Minuman ringan juga akan dihidangakan selepas lawatan ke kilang Gardenia.

Masa Lawatan :
Isnin hingga Jumaat – 9:00 pagi,
11:00 pagi, 2:00 petang dan
3:00 petang

Sabtu – 9:00 pagi & 10:00 pagi

Jangkamasa Lawatan :
Anggaran 1 ½ jam

Untuk tempahan sila hubungi: 
+6(03)-5191 6130 sambungan 128, 130, or 131

 

6. Taman Tema Wet World Shah Alam

 

Sumber: GoTicket

Tak tahu nak buat apa pada musim cuti sekolah? Jom bawa anak-anak ke taman tema air Wet World Shah Alam di mana anda sekeluarga dapat bermain air sepuas hati. Lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti loker untuk menyimpan barang, tak perlulah anda bersusah hati fikirkan keselamatan barang-barang berharga anda, baru boleh enjoy. Kemudian, kalau dah penat mandi-manda, mesti terasa lapar kan? Ada beberapa pilihan gerai untuk anda membeli makanan di sini.

Kalau anda merancang untuk berjalan ke tempat lain selepas ke taman tema ini, jangan risau pasal rambut basah, pihak wet world turut menyediakan kemudahan alat pengering rambut supaya tak adalah anda pening kepala sebab terpaksa pakai tudung dengan rambut basah bagi yang berhijab. Walaupun taman tema ini tidak sebesar Sunway Lagoon tapi ia tetap lengkap dengan segala kemudahan yang memastikan masa anda disana seronok dan selesa.

Bayaran Masuk: Dewasa RM25 | Kanak-kanak RM20 | Pelancong Dewasa RM35 | Pelancong Kanak-kanak RM30

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Rabu (10.00am – 6.00pm) | Tutup pada hari Rabu kecuali Cuti Sekolah dan Cuti Umum

Alamat: Taman Tema Air Wet World, No. 3A, Persiaran Dato’ Menteri, Sek.14, 40000 Shah Alam, Selangor.

 

7. Pusat Karangkraf

 

Sumber: Karangkraf

Kumpulan Media Karangkraf menyediakan lawatan sambil belajar di Seksyen 15, Shah Alam. Boleh rujuk perkara di bawah sekiranya berminat untuk mengadakan lawatan ke sana.

Syarat-syarat lawatan ke Kumpulan Media Karangkraf:

  • Waktu lawatan adalah dari hari Isnin hingga Khamis sahaja.
  • Tiada sesi lawatan pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum.
  • Terdapat hanya dua sesi lawatan untuk setiap hari iaitu pada jam 9.00AM (Sesi Pagi) dan 2.30PM
    (Sesi Petang).
  • Setiap lawatan akan mengambil masa kira-kira tiga jam.
  • Jumlah maksimum untuk setiap kumpulan lawatan adalah seramai 50 orang sahaja.
    (Anggaran 1 bas)
  • Hanya lawatan berkumpulan sahaja yang akan diterima manakala permohonan individu tidak akan
    dilayan.
  • Bagi permohonan lawatan dari sekolah rendah, hanya pelajar tahap dua sahaja iaitu tahun 5 & 6
    yang akan diterima. Pelajar Prasekolah, tahun satu, dua, tiga dan empat tidak dibenarkan.

 

Alamat: No. 1, Jalan Renggam 15/5, Off Persiaran Selangor, Seksyen 15, Selangor, 40200 Shah Alam

 

8. Perpustakaan Raja Tun Uda

 

Sumber: mapio.net

 

Berkonsepkan perpustakaan dalam taman, Perpustakaan Raja Tun Uda merupakan sebuah perpustakaan awam yang lengkap dengan pelbagai kemudahan hi-tech seperti bilik wifi percuma dengan 100 buah komputer tersedia untuk pengunjung, yang syoknya lagi kalau anda suka menonton filem, anda bukan setakat boleh menikmati filem itu dalam bilik yang disediakan di perpustakaan ini, malahan, anda dapat menontonnya dalam 3D atau 6D!

Selain itu, perpustakaan yang memiliki 6 tingkat ini dapat menampung 400,000 buah buku dan 2500 orang pada satu-satu masa. Tambahan pula perpustakaan ini lengkap dengan kafeterianya sendiri dimana anda dapat menikmati makanan sambil melihat pemandangan tasik dan masjid yang sangat menyejukkan mata.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.30am – 7.00pm) | Sabtu – Ahad (9.30am – 9.00pm)

Alamat: Jalan Kelab Golf 13/6, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor

 

9. Kompleks Taman Seni Islam

 

Sumber: Tourism Selangor

Di dalam Kompleks ini anda dapat melihat beberapa galeri berbeza seperti Galeri Nur Fatimah, Galeri As Sakinah, Galeri Al Quran Mushaf Malaysia, Bahagian Penyalinan Mushaf Al Quran, Rekaan, Pewarnaan, Grafik dan Penerapan Emas.

Yang paling menarik perhatian di Kompleks ini adalah manuskrip asli Al-Quran yang dianggarkan berharga RM20 juta. Satu perasaan yang amat menakjubkan apabila dapat melihat Quran ini di depan mata. Kompleks ini juga merupakan tempat penghasilan hasil seni islamik. Yayasan Restu, merupakan organisasi yang bertanggungjawab menghasilkan Quran tulisan tangan yang pertama di Malaysia. Yang menarik lagi, dari Kompleks ini anda dapat menikmati panorama indah Masjid Shah Alam dan Taman Tasik Shah Alam.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (9.30am – 5.30pm)

Alamat: 2A, Persiaran Damai, Seksyen 10, 40100 Shah Alam, Selangor

 

10. Taman Botani Shah Alam Bukit Cerakah

 

Sumber: Tajas Media

Apa yang menarik di Taman Botani Shah Alam adalah Rumah Iklim Sederhana Empat Musim yang mana di dalamnya terdapat bunga-bungaan yang ditanam dalam musim tertentu, musim-musim di rumah ini diubah setiap tiga bulan. Walaupun kita duduk di negara yang tidak mengalami perubahan musim, sekurang-kurangnya dapatlah anda merasa suasana yang berlainan semasa anda berada di sini. Terasa agak realistik dengan teknik pencahayaan dan wallpaper yang digunakan untuk memberikan efek yang bersesuaian dengan musim tersebut.

Tarikan lain yang terdapat di sini adalah zoo mini, kawasan sawah padi, taman kaktus, taman buah-buahan tropika, taman herba, tasik dan kolam. Antara aktiviti yang sering dilakukan di sini adalah seperti berbasikal, flying fox, memancing dan paintball.

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (7.30am – 5.00pm)

Alamat: Taman Botani Negara Shah Alam, Bukit Cahaya Seri Alam, 40000 Shah Alam

 

11. Laman Budaya, Galeri Shah Alam

 

Sumber: Sirap Limau

Laman Budaya merupakan pusat kebudayaan di mana terdapat teater, Galeri Shah Alam, muzium dan lain-lain. Bertempat di Taman Tasik Shah Alam, di Laman Budaya menjadi hab dimana karya tempatan dipamerkan seperti persembahan, pertandingan, pameran dan majlis diadakan.

Kalau anda seorang pencinta seni, tiada alasan untuk anda tidak melawat galeri seni ini. Mungkin anda boleh mendapatkan inspirasi untuk karya anda sendiri?

Waktu Operasi: Setiap hari (9.00am – 6.00pm)

Alamat: Laman Budaya Shah Alam, Persiaran Tasik, 40000 Shah Alam

 

12. Laman Seni 7, Shah Alam

 

Sumber: Laman Seni

Kalau anda pernah dengar tentang Art of Old Town di Ipoh, di Selangor pula terdapat Laman Seni 7 di mana hasil-hasil seni pelukis jalanan yang telah memenangi Pertandingan Laman Seni 7 Shah Alam dari 4 kategori berbeza iaitu ‘Painting on Site’, ‘Street Furniture’, ‘3D Painting’ dan ‘3D Installation’ dipamerkan.

Karya-karya yang memenangi pertandingan-pertandingan ini diabadikan di Laman Seni 7 ini untuk dilihat oleh orang ramai. Di sebalik setiap hasil seni ini terdapat mesej-mesej penting yang cuba disampaikan, di sini, anda dapat membaca info dari perspektif pengkarya itu sendiri tentang apa yang cuba disampaikan melalui karya mereka. Kalau anda suka berfotografi, apa kata anda angkut kamera dan lensa-lensa dan lihat sendiri keunikan tarikan ini.

Alamat: Jalan Plumbum R7/R, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor

Leave a Comment

I-Soho, Section 7

Hubungi Kami

Untuk yang ingin mencari penginapan lebih daripada 3 Malam,

boleh hubungi kami terus di talian +60123349149

atau

emelkan kepada [email protected]